MENONTON 1917 (2019), arahan Sam Mendes (yang menukangi kita dua filem terakhir James Bond, Skyfall [2012] dan Spectre [2015]) di layar lebar menuntut tenaga yang tidak kurang hebat.
1917 yang mengambil latar Perang Dunia Pertama, secara peribadi kepada saya ialah perjalanan wayang yang melelahkan, dimungkinkan oleh teknik syot tunggal berkesinambungan yang mendominasi jalur cerita dari awal hingga ke akhirnya.
Kali terakhir kita dihidangkan dengan teknik sebegini (atau setidaknya dalam pengalaman wayang saya sendiri) barangkali oleh sutradara Mexico, Alejandro González Iñárritu melalui filem komedi gelap Birdman or (The Unexpected Virtue of Ignorance (2014) yang menyaksikan filem tersebut merangkul Filem Terbaik di Anugerah Academy bagi musim tersebut.
Kendatipun begitu, ini bukanlah percubaan pertama Mendes bermain dengan teknik syot tunggal. Dalam babak pembukaan Spectre misalnya, Mendes membingkaikan perjalanan Ejen 007 di sebalik topeng ketika Festival of The Dead di tengah-tengah Mexico City, melewati keriuhan jalanan, lobi hotel, lif dan tingkap — menerusi syot tunggal juga.
[Babak tersebut boleh ditonton di sini]
Dalam 1917 pula, melalui syot tunggal ini, penonton ibarat ‘watak ketiga’ yang halimunan. Kita dapat menyoroti setiap pergerakan dua lans koperal tentera British, Schifold (George Mackay) dan Blake (Dean-Charles Chapman); kita seolah-olah berada di sisi mereka, menerima arahan daripada jeneral mereka, Jeneral Enrimore (Colin Firth) untuk menyampaikan satu pesanan kepada Batalion Kedua Devons (‘The Second Devons’, seperti yang disebutkan Blake dan Schifold dalam filem ini).
Pesanan tersebut besar; arahan untuk menghentikan serangan terhadap pasukan Jerman (yang sebenarnya sudah pun mundur dan memasang jerangkap) supaya tentera British tidak terjerat dengan pertempuran palsu yang dicetuskan pihak Jerman.
Dengan motivasi besar untuk menyelamatkan abangnya yang turut berada dalam batalion yang dituju, Blake menyanggupi amanat tersebut meskipun diragui oleh Schi.
Menerusi teknik kamera yang cemerlang oleh pengarah fotografi, Roger Deakins, kita akan dibawa turut sama-sama menelusuri jurang yang menjadi kubu tentera British (perhatikan adegan dalam jurang dirakam pada sudut setara dengan pemeran watak, bukan sudut pandangan dari atas/bird-eye angle), serta melewati no man’s land dan wilayah musuh yang ditinggalkan.
Perjalanan mencelahi bangkai kuda, mayat tentera yang berapungan di sungai serta ledakan di dalam bunker tersembunyi yang ditinggalkan tentera Jerman terasa sangat hampir dengan penonton.
Kita malah turut sama merasai detak jantung Schifold ketika berlari daripada musuh di antara robohan kota Perancis yang ditinggalkan dalam sela tembakan demi tembakan.
Syot panjang nan satu ini hanya terputus ketika Schi ditembak ketika membuka pintu kubu persembunyian musuh, namun syot berhenti pada jeda yang signifikan, saya kira — syot disambung semula ketika Schi tersedar daripada tidak sedarkan diri lama; sebaik sahaja dia membuka mata.
Mengambil premis yang sama seperti Dunkirk (2015), bayang musuh hampir tidak kelihatan dalam 1917 (kecuali ketika adegan pesawat musuh terhempas, figura juruterbang perang Jerman muncul sebelum menikam Blake), menyiratkan bahawa filem ini bukan tentang pertempuran dua seteru, tetapi yang lebih relevan untuk diangkat ialah perjalanan perang itu sendiri yang likunya beribu biku dan melelahkan.
Skor dan runut bunyi juga wajar diberi mata brownie. Namun pingat sebenar harus diberikan kepada penyunting, pereka set dan pengarah sendiri kerana untuk membikin karya yang bermain dengan teknik sebegini, penggarapan dan masa (timing) memainkan peranan yang sangat penting.
Kemunculan Colin Firth dan Bennedict Cumberbatch meskipun hanya sebentar, tampil cemerlang dan tidak kurang penting juga.
Pendek kata, 1917 bukanlah semata-mata filem yang menang teknik, malah turut menjuarai seni bercerita jika subteksnya dibaca cermat oleh penonton.
Sehingga resensi ini ditulis, 1917 telah mendominasi pencalonan Anugerah Academy dengan 10 pencalonan, termasuk Filem Terbaik. Filem ini malah, menggondol Filem Cereka Terbaik – Drama di Anugerah Golden Globe ke-77 yang lalu.
Dapatkah 1917 membawa pulang Oscar untuk Filem Terbaik atau politik AMPAS sekali lagi membuktikan kontradiksi citarasa dan undi ahli Academy dan HFPA?
Saya tidak sabar untuk menantikannya.
(p/s: 1917 diinspirasikan daripada kisah benar yang diperturunkan oleh datuk Sam Mendes sendiri, Alfred Mendes, seorang veteran Perang Dunia Pertama kepada beliau sendiri).