Past Lives (2023) membawa kita menelusuri perjalanan cinta, perkawanan dan konflik diri merentasi sela masa, dekad dan benua yang berbeza. Kita berkenalan dengan dua kanak-kanak Korea Selatan, Na-Young dan Hae-Sung, yang saling menyayangi dan menyaingi, di tengah-tengah jantung Seoul.
Na-Young walau bagaimanapun harus berhijrah ke Kanada bersama-sama keluarganya, meninggalkan Hae-sung di Seoul. Ayah Na-Young seorang pengarah filem manakala ibunya seorang artis. Na-Young menurut jejak keluarga artistiknya ke Amerika Utara, kerana menurutnya, “orang Korea tak akan menang Hadiah Nobel Kesusasteraan”.
12 tahun berlalu, Na-Young (kini Nora, lakonan Greta Lee) mengejar cita-citanya sebagai dramatis di New York, manakala Hae-Sung (Teo Yoo) baru tamat latihan ketenteraan wajib dan pengajian jurusan kejuruteraan di Seoul. Hubungan mereka bertaut semula secara maya dalam ‘jejak kasih’ melalui Facebook – rupa-rupanya sejak sekian lama Hae Sung memang cuba untuk mencari dan menghubungi Na-Young.
Berpindah ke Skype, mereka berbual, berkongsi bahagia, bertukar diam dan ketawa dari dinihari ke dinihari.
Namun sebagaimana hubungan maya jarak jauh yang lazim, pertemuan tersebut dipatahkan oleh ruang, jarak dan cita-cita. Mereka berhenti berhubungan kerana ketidakbetahan mereka bertemu di kota masing-masing serta keinginan Na-Young yang mahu memenangkan cita-cita berbanding hubungan situationship mereka yang tak nampak jalan, baik secara harfiah mahupun kiasan.
Pada Babak Tiga, kerjaya teater Nora kini di kemuncak dan sudah menjadi isteri kepada seorang novelis, Arthur (John Magaro), selepas mereka bertemu dalam sebuah retreat penulis. Manakala Hae-Sung baru keluar daripada hubungan cinta yang gagal di Seoul.
Hae-Sung membuat keputusan untuk datang ke New York untuk melawat Nora, sekali gus dipertemukan dengan Arthur juga. Ini ialah pertemuan Na-Young dan Hae-Sung secara maujud selepas mereka berpisahan di Seoul, 24 tahun yang lalu.
Bahasa Paling Rahsia Past Lives
Sukar membayangkan Past Lives ialah filem cereka pertama arahan Celine Song. Meskipun lebih lazim menghasilkan drama pentas, garapan Past Lives tidak canggung. Semua adegan dan baris dialog tiada yang mubazir, meskipun sela diam. Diam dalam Past Lives ialah sepi yang menggemakan sisi-sisi peribadi; gejolak, perlawanan batin dan kesedihan sukma yang sudah tentu tidak dapat diperikan melalui lontaran kata-kata oleh watak-wataknya.
Diam yang mengapungi perbualan Skype antara Nora dan Hae-Sung pada Babak Dua misalnya ialah kepulan persoalan yang tak tertanyakan. Diam yang mengiringi Nora ketika menghantar Hae-Sung menunggu Uber-nya pada adegan terakhir ialah gejolak dalaman yang mempersoalkan muncah what-ifs.
Diam pada saya ialah bahasa filem yang mahal. Di tangan sentuhan Midas Celine Song, ia menjadi emas, kerana diam dalam Past Lives menonjolkan interaksi yang sangat peribadi.
Kita, sebagai penonton terasa seperti seolah-olah ‘orang luar’ yang kepoh ingin tahu ‘apa’, ‘siapa’ dan ‘mengapa’ – sehinggakan pada satu peringkat tontonan, ia membuatkan kita rasa serba salah kerana interaksi-interaksinya terasa sangat peribadi. Sudah menjadi rukun rahsia, semakin peribadi, semakin melonjak-lonjak keingintahuan kita.
[Ini sudah pasti terjadi dengan sengaja. Adegan pembukaan di bebingkai pertama memaparkan Nora, Hae-Sung dan Arthur di kaunter bar dengan suara latar yang menerka-nerka apa yang terjadi dalam bingkai. Celine Song sudah awal-awal lagi mengisyaratkan kepada penonton “kau orang luar. Jemput tonton rahsia yang paling peribadi. Kau boleh memerhati, tetapi tafsiran tentang segala-gala yang peribadi, kau tafsirkan sendiri”.]
Kumandang ‘The Road Not Taken’
Bahasa peribadi ini juga tidak hanya tertakluk kepada bahasa diam dan segala bahasa rahsia pada riak wajah dan bahasa badan pemeran di dalamnya. Kedwibahasaan Past Lives juga sebenarnya yang menonjolkan dwisisi watak-wataknya yang sangat peribadi, terutama Nora/Na-Young.
Ia menunjukkan dilema identiti. Masih ada sisi Na-Young dalam saki baki diri Nora. Meskipun berjaya sebagai dramatis di kota New York, ada Na-Young dalam dirinya yang ditinggalkan di Seoul. Dan sosok Hae-Sung mewakili masa lalu yang tak tertinggalkan itu.
Dalam adegan di bar misalnya, ketika berbicara dengan Hae-Sung dalam bahasa Korea tentang hal-hal what-ifs, In-Yun, dan ‘the road not taken’, kita tersudut seperti Arthur di pojok sendiri. Sudah tentu, garis halus yang menjadikan rahsia tidaklah sebegitu rahsia, hanya kerana kita dapat membaca sari kata atau Nora menterjemahkan apa yang dibualkan ke dalam bahasa Inggeris kepada Arthur. Namun, ia tetap tidak merencatkan betapa peribadinya sesuatu perkara jika dibualkan dalam bahasa yang berbeza.
Situasi terbelah mendengar/bercakap/menterjemah Nora dalam himpitan kedwibahasaan inilah pada pengamatan saya, menjadi tulang belakang atau ‘premis’ yang mendasari Past Lives.
Saya tidak setuju jika ada yang katakan Past Lives adalah tentang cinta tiga segi Na Young-Arthur-Nora. Bukan juga tentang cinta tidak kesampaian antara Na-Young/Hae Sung. Tidak pernah. (Malah jika benar-benar membaca subteks, ‘hubungan cinta’ antara Na-Young dan Hae-Sung sebenarnya sebelah tangan. Memetik kata-kata Nora, “dia terlalu Korea untuk saya” dan “saya terlalu Amerika apabila bersama dengannya”, lebih kurang).
Seperti yang saya katakan, ia tentang persimpangan jati diri. Bertemu dengan Hae-Sung ialah bertemu Na-Young yang masih belum terlepaskan dalam diri Nora, yang tidak pernah dia dedahkan sejak berhijrah ke Amerika Utara, hatta kepada Arthur, meskipun Arthur cuma menerjah dunia Na-Young yang ada dalam dirinya, misalnya dengan belajar bahasa Korea.
(Arthur tidak dapat memahami bahasa yang dituturkan dalam mimpi Nora. Nora juga berhenti menjadi cengeng ketika sampai di Kanada pada usia remaja, kerana menurutnya, tiada siapa yang peduli).
Oleh sebab itu, pada saya, adegan pengakhiran Past Lives ialah adegan yang powerful dan penuh makna. Selepas menghantar Hae-Sung menaiki Ubernya, diam Nora kembali ke rumahnya juga ialah diam yang peribadi, tetapi bermakna.
Tangisnya pecah di dada Arthur. Nora cengeng kembali. Dia akhirnya bersedia membuka sisi Na-Young kepada sang suami, membawa hubungan mereka setakah lebih tinggi.
Pujian juga harus diberikan kepada barisan pemeran terutama Greta Lee dan Teo Yoo. Saya memang meminati lakonan Greta Lee sejak menontonnya sebagai Stella Bak – wanita besi yang mengetuai divisyen berita rangkaian siaran gergasi Amerika Syarikat dalam drama rantaian The Morning Show.
Greta Lee sebagai Nora/Na-Young ialah filem pertamanya sebagai watak utama. Namanya wajar diberikan perhatian. Percayalah, jika terlibat dalam projek lakonan yang tepat, namanya akan sebesar Michelle Yeoh suatu hari nanti!
Past Lives, ialah filem terbaik 2023 buat saya secara peribadi, setakat ini.
Ditonton di Apple TV (dengan menggunakan VPN).
Comment (1)
Budi Pekerti (2023): Kejujuran yang Terhukum - Shamsul Amin
February 1, 2024 at 5:44 am[…] BACA: Past Lives (2023): Bahasa Sepi Adalah Bahasa Peribadi […]