#CerpenSabtu ialah siri terbaharu yang saya wujudkan untuk mengulas cerpen-cerpen yang saya baca, sama ada yang diterbitkan secara eceran mahupun dalam kumpulan/antologi cerpen. Untuk siri yang pertama, saya mengulas cerpen Mama Dhani oleh Arif Zulkifli yang terbit di aplikasi Cereka.
Bilakah kali terakhir kita dapat membaca fiksyen, atau lebih khusus, cerpen, berbahasa Melayu yang memaparkan watak atau latar komuniti queer tempatan, terutama di media atau penerbitan utama di Malaysia?
Sejujurnya, saya tidak ingat. Barangkali kerana tidak semua bahan bacaan berbentuk fiksyen ada dalam radar pembacaan saya. Yang paling saya ingat (yang boleh saya senaraikan) antara lain ialah antologi cerpen yang diterbitkan pada tahun 2010, Orang Macam Kita, selenggaraan Azwan Ismail dan Diana Dirani.
Cerpenis yang menyumbangkan karya dalam antologi ini juga bukan calang-calang – Fadli Al-Akiti, Nizam Zakaria, Ridhwan Saidi, Dina Zaman, Bissme S, Farish A. Noor dan ramai lagi. Saya kira, ini antara projek mengumpulkan cerita/cerpen komuniti queer yang berjaya setakat ini. Tema, alur cerita, mesejnya juga rencam.
Ada juga beberapa projek antologi cerpen lain yang terselit sebuah dua cerpen yang memaparkan latar cerita dengan watak gay/lesbian/transgender. Antara yang saya ingat antologi cerpen KLCC oleh Fixi, namun elemen queer beberapa cerpen antologi cerpen tidak lebih sekadar erotika, yang akhirnya tak menyumbangkan apa-apa kepada cerita.
Oleh sebab itu, saya fikir cerpen ‘Mama Dhani’ oleh Arif Zulkifli yang terbit di aplikasi Cereka beberapa hari lalu ialah sebuah cerpen komuniti queer yang penting dan perlu dibaca dengan cermat.
Siapa queer?
Saya sengaja sebenarnya menggunakan kata queer bagi menggantikan istilah LGBTQ+ dalam penulisan ini (kerana istilah kedua kini sering kali dilihat sebagai kata nista [derogatory]). Istilah ‘queer’ lebih sering kali digunakan dalam landskap akademia dalam membincangkan komuniti LGBTQ+.
Cerpen ‘Mama Dhani’ mengisahkan seorang kanak-kanak, Dhani yang hidup bersama-sama mamanya di sebuah flat. Cerita bermula dengan Dhani dan mamanya bersiap-siap pada suatu pagi; mamanya bersolek-solek mempersiapkan dirinya, kemudian mempersiapkan Dhani pula; satu suasana tampak biasa yang kita boleh lihat pada zahirnya. Kita menerka-nerka, barangkali mama Dhani seorang ibu tunggal yang memelihara Dhani seorang diri.
Cerita yang bermula dengan sangat naif, tiba-tiba patah pada perenggan yang menukilkan perjalanan Dhani dan mamanya berjalan keluar dari kawasan flat. Seperti mana hancing dan hapaknya kawasan tersebut, penghuni-penghuninya tidak kurangnya juga. Mereka “menjeling-jeling kepada mereka dua beranak”. Penduduk di situ juga “berdecit-decit, berbisik-bisik, sibuk menjaga tepi kain orang”.
Pada perenggan ini, kita menerka-nerka pula, adakah mama Dhani seorang pekerja seks? Adakah Dhani anak tidak sah taraf? Adakah mereka suka buang sampah merata-rata di kawasan flat? Apa kesalahan mereka sehingga ada kerlingan nista yang menjegilkan benci dan prasangka? Setidak-tidaknya itulah yang bermain dalam fikiran saya.
Prasangka mencapah lagi tatkala Arif Zulkifli memasukkan elemen jungkir balik menungan kenangan mama Dhani dalam naratifnya. Dhani rupa-rupanya ditemukan mamanya dalam keadaan berbalut kain batik ketika masih bayi di sebuah masjid. Dhani rupa-rupanya anak buangan yang dijadikan sebagai anak angkat mamanya. Inikah yang menjadi cemuhan masyarakat di flatnya sehingga hari ini? Kerana mamanya seorang wanita dan Dhani seorang lelaki?
Kemuncak cerpen ini mendedahkan segala-galanya. Ketika mama Dhani dipanggil ke sekolah kerana Dhani terlibat dalam sebuah pergaduhan, barulah dibongkarkan: rupa-rupanya mama Dhani seorang mak nyah. Dhani diambil anak angkat sejak kecil oleh seorang mak nyah, memungkinkan mengapa mereka anak beranak dicerca dan menjadi buah mulut penduduk di flatnya.
Rahsia demi rahsia
Saya kira, ini permainan alur cerita yang menarik sekali oleh Arif Zulkifli. Ia bermain dengan misteri atau rahsia demi rahsia yang memancing keingintahuan pembaca.
Untuk pembaca yang barangkali tidak menadah apa-apa jangkaan, barangkali pendedahan sebaris dialog itu oleh Dhani itu sesuatu yang mengejutkan. Kalaupun ada pembaca yang dapat menerka-nerka dari awal, masih, ia satu pendedahan yang berani.
Cerita dileraikan dengan katarsis yang tak terlupakan juga. Saya tidak mahu mendedahkan peleraiannya. Ada baiknya mereka yang belum membaca, dipersilakan membaca ‘Mama Dhani’ ni aplikasi Cereka.
Seperti yang saya katakan, ini cerpen yang penting terutama dalam landskap komuniti queer. Selain kepuasan kreativiti pengarang, saya selalu percaya sesebuah fiksyen harus meninggalkan dampak kepada pembaca dan masyarakat, walau apa pun jua pesan dan premisnya.
Mama Dhani ialah sebuah rakaman penting. Realitinya, di luar, ramai mak nyah atau bekas mak nyah yang memelihara anak angkat. Sama ada di peringkat perundangan hal ini dibenarkan atau tidak, itu wacana yang lain. Namun seperti mana busuk dan hancingnya keadaan flat mereka anak-beranak, begitu jugalah persepsi dan diskriminasi yang didepani komuniti queer di negara ini, terutama golongan transgender. Hak mereka untuk berkeluarga, mempunyai anak dan sebagainya, dinafikan, kalaupun bukan oleh undang-undang, oleh masyarakat.
(Pada satu peringkat pembacaan cerpen ini, saya juga teringatkan anak-anak Nur Sajat, yang ditinggalkan di tanah air ketika Sajat kini berlindung suaka di Australia)
Tatkala mereka membina hidup dan menjalani rutin seperti biasa, banyak pandangan, prasangka dan pemecilan yang mereka hadapi, yang perlahan-lahan mencucuh benci dan memarakkan api diskriminasi. Ini hakikatnya, sebuah realiti. Dan cerpen ‘Mama Dhani’ ini tampil berani merakamkan realiti tersebut.
Sebagai pengarang yang prolifik, tidak banyak yang saya boleh komen tentang gaya kepengarangan Arif Zulkifli, kecuali satu, gaya olahannya. Saya percaya Arif Zulkfli boleh mengolah sesebuah cerita dengan lebih baik – yang menggetarkan rasa, yang memuaskan katarsis bahasa; kerana alur penceritaannya sudah cukup baik.
Namun gaya kepengarangan dalam ‘Mama Dhani’ – dan beberapa karya lain Arif Zulkifli – walaupun boleh lebih baik, tidaklah sampai tahap tidak bagus. Boleh dihadam dan tidak menjelakkan. Yang penting ceritanya boleh kita turuti, dari kata pertama hingga noktah yang terakhir..
Dalam nota lain, saya mengharapkan lebih banyak cerpen yang merakamkan realiti dan menalarkan cerita-cerita terpencil komuniti queer, terutama di Malaysia.
Mama Dhani oleh Arif Zulkifli boleh dibaca secara percuma di aplikasi Cereka.
Klik di sini: https://onelink.to/cereka