Bertemu Bapak

PIN
PERTEMUAN pertama kali dengan Sasterawan Negara Dato’ A. Samad Said (Pak Samad) kalau tidak silap sekitar tahun 2007– ketika tahun-tahun awal saya menulis. Sewaktu itu saya berada di tingkatan dua. Di Kuantan pada ketika itu berlangsungnya sambutan Hari Sastera ke-5, justeru diadakan bersempena dengannya ialah Simposium Penulis Pelbagai Kaum di Hotel Seri Malaysia.
Jadi kerana merasakan saya sudah pun bergelar seorang penulis pada ketika itu (poyo kan? padahal baru ada sebuah antologi waktu itu), saya hadiri program tersebut, siap minta kebenaran warden balik bermalam hujung minggu. Acara tersebut pada hari Sabtu.
Niat muasal ke simposium tersebut ialah ingin berjumpa depan mata dengan pengarang kegemaran, Faisal Tehrani (Mohd Faizal Musa) yang membentangkan kerja pada waktu itu. Namun kemudian saya mendapat tahu, Pak Samad juga menyampaikan ucap tama. Jadi, saya kira, dapat bertemu Pak Samad juga satu bonus.
Pada waktu itu Bapak popular dalam lagu Kukoo nyanyian Ferhad, kerana dalam lagu tersebut, Bapak rap (kind of rap, yeah). Rap puisi gituh. Saya rasa ramai yang tidak tahu.
(Saya cuba untuk cari semula lagu tersebut di Youtube dan Spotify. Malang sekali tidak ada.)
Kebetulan pada ketika itu Bapak ada bawa buku-buku terbitan Wira Bukit untuk jualan, jadi saya beli kumpulan puisi Rindu Ibu, langsung saya minta Bapak turunkan tandatangan pada waktu itu. Dan itulah satu-satunya, buku Pak Samad yang bertandatangan beliau yang saya miliki.
Malangnya buku tersebut hilang tidak dapat dijejak. Berkemungkinan besar hilang sewaktu saya berada di tingkatan empat; tahun di mana saya terlebih rajin. Saya bawa ke asrama semua buku-buku sastera yang saya miliki dari rumah dan buat semacam skim pinjaman saya sendiri kepada kawan dan junior-junior. Mereka boleh pinjam buku-buku yang mereka suka dan pulangkan dalam tempoh yang dikehendaki.
Malangnya dalam tempoh itu, banyak buku hilang tidak dapat dijejak (walaupun saya sudah mencatat), kumpulan puisi Rindu Ibu itu, antaranya.
Geram tak payah cakaplah. Sampai sekarang kalau saya jumpa siapa yang simpan buku tersebut, memang saya ganyang-ganyang.
Selepas itu, saya hanya dapat bertemu Pak Samad ketika saya mula melanjutkan pelajaran di Universiti Malaya. Itu pun hanya berpapasan di stesen-stesen LRT, atau mungkin kebetulan bertemu di majlis-majlis sastera, itu pun saya hanya selalu minta bergambar. Jarang sekali dapat peluang berbual dengan Bapak walaupun saya teringin amat.
Malu barangkali. Saya sedar batas saya sebagai penulis baru dengan penulis veteran, Sasterawan Negara pula tu kan.
Justeru, sebaik sahaja mendapat tugasan untuk menemu bual Pak Samad bagi portal MukaSurat.my semalam oleh Encik Hasri Hasan, adalah peluang yang saya tahu sesuatu yang tidak boleh saya lewat-lewatkan.
Berurusan dengan Bapak mudah amat, beliau seseorang yang sangat mengalu-alukan.
Mengenali Bapak melalui tulisan-tulisannya tentu sekali tidak serupa dengan mengakrabi dan berbual dengan beliau selama 60 minit. Peluang tersebut meskipun hanya sekejap, saya rasakan amat bermakna, dan saya kira banyak yang kita boleh belajar daripada figura 82 tahun ini.

Insya-Allah jika berkesempatan, saya kongsikan temu bual saya bersama Bapak di MukaSurat.my. Nantikan ya.

Leave Your Comments