Shamsul Amin merupakan penulis dan editor. Beliau juga merupakan graduan Ijazah Sarjana Muda Pengajian Melayu (Linguistik Melayu) di Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya, Kuala Lumpur.
Beliau pernah bertugas sebagai eksekutif editor dan kandungan di Perbadanan Kota Buku (2016-2018), penulis kandungan digital di Media Prima Berhad (2018-2019), serta pegawai penerbitan di Gerakbudaya (2019).
Kini beliau bergerak sebagai penulis dan editor secara bebas selain mengusahkan milikan tunggal Sindiket Tanda Bacha dan kedai buku atas talian, Buku Kacak.
Beliau dilahirkan pada 26 Mei 1993 di Kota Bharu, Kelantan Darul Naim. Beliau mendapat pendidikan awal di SK Wira, Kuantan sebelum melanjutkan pelajaran menengah dan prauniversiti di SMK Agama Pahang, Muadzam Shah, Pahang Darul Makmur. Beliau pernah diumumkan sebagai pelajar terbaik kebangsaan dalam Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) pada tahun 2012.
Beliau memulakan penulisannya seawal 13 tahun. Karya beliau antara lain tersiar dalam media arus perdana seperti Dewan Sastera, Tunas Cipta, Dewan Siswa, BH Ahad, Utusan Malaysia, Dewan Budaya, Dewan Kosmik, and Utusan Melayu dan juga beberapa buku antologi seperti Sejalan Tak Seiring (Esastera Enterprise, 2007), Kunci Gerbang Masa (DBP, 2009), Menyirat Cinta Haqiqi (Insandi, 2011), Elegan (Legasi Oakheart, 2012), Cantuman Mimpi (ITBM, 2013), Siti Nurmalaysia (DBP, 2013), Bukan Dorman (Legasi Oakheart, 2014) dan Wajah Kita (DBP, 2016).
Beliau mendapat latihan kepengarangan melalui Minggu Penulis Remaja anjuran Dewan Bahasa & Pustaka pada tahun 2010.
Pada tahun 2013, beliau terpilih untuk menyertai Kembara Penulis Muda ke United Kingdom anjuran Institut Terjemahan & Buku Malaysia (ITBM) dan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA).
Beliau pernah menerima Anugerah Menteri Besar Pahang pada tahun 2008 dan 2012 selain pernah dinobatkan sebagai Tokoh Penulis Muda Pahang pada tahun 2009.
Sempena penganjuran SEA Write Award ke-35, Shamsul Amin terpilih sebagai penerima Malaysia bagi anugerah ASEAN Young Writers Award yang dianugerahkan oleh ASEAN dan kerajaan Thailand pada tahun 2015.
Cerpennya yang diterjemahkan ke dalam Bahasa Inggeris, Clothed in Perada (Di Hamparan Perada) telah disenarai panjang (long-listed) untuk 2016 Commonwealth Short Story Prize anjuran Commonwealth Foundation pada tahun 2016.