14 Februari: Antara Sejambak Mawar dan Senaskhah Buku

PIN
Sejak beberapa minggu lalu sehingga saat artikel ini ditulis, suapan berita halaman Facebook saya dibanjiri dengan mesej berantai yang disalin-tampal oleh rakan-rakan bibliofil saya, dalam status masing-masing. Mesej rantaian tersebut lebih kurang berbunyi; 14 Februari akan diraikan sebagai Hari Bertukar Buku dan sesiapa yang berminat untuk menerima buku, dikehendaki menyalin dan menampal status tersebut di dinding Facebook masing-masing.
INTERNATIONAL BOOK GIVING DAY 2017 / BOOKGIVINGDAY.COM

Mekanismenya mudah; jika anda berminat untuk menyertai acara bertukar buku berskala besar tersebut, anda perlu menghantar senaskhah buku tersebut kepada sesiapa yang lain yang tidak dikenali. Jika bernasib baik, senaskhah buku yang anda hadiahkan, anda akan menerima lebih banyak naskhah buku daripada orang yang lain.
Apa yang melarik perhatian saya dalam status-status yang dikongsikan tersebut ialah dua mesej penting yang disertakan bersama di dalamnya. Pertama, buku yang dikirimkan mestilah buku yang baik dan bermanfaat supaya anda juga menerima naskhah yang baik juga. Kedua, mesej tersebut diakhiri dengan ucapan yang sangat signifikan, “selamat membaca dan berkasih sayang dengan buku”.
Pesanan ini amat penting saya kira, kerana aktiviti berskala besar ini diraikan bersempena dengan Hari Kekasih yang diraikan di seluruh dunia pada tarikh yang sama. Tiba-tiba, terbit dalam fikiran saya ketika menatal skrin laman Facebook; pada 14 Februari berbanding tradisi menyerahkan sejambak mawar kepada kekasih, kenapa tidak meraikan cinta dengan senaskhah buku?
Hari Bertukar Buku Ganti Hari Kekasih
14 Februari setiap tahun selalu diingati sebagai Hari Kekasih, diraikan di seluruh dunia dengan bermacam cara. Meskipun terdapat pelbagai polemik berkenaan perayaan tersebut dalam negara ini, namun tarikh 14 Februari amat sinonim sebagai tarikh untuk meraikan dan memperingati cinta.
14 Februari, walau bagaimanapun jarang sekali diingati sebagai satu keraian yang lain iaitu Hari Menghadiahkan Buku Antarabangsa atau International Book Giving Day. Pada tarikh ini komuniti pencinta buku seluruh dunia memulakan inisiatif melakukan aktiviti bertukar-tukar hadiah buku sesama mereka. Inisiatif sebegini wajar sekali diraikan dan dirayakan.
14 Februari sebagai Hari Bertukar Buku sejujurnya maklumat yang sangat baru buat saya sebagai pencinta buku tetapi tradisi menghadiahkan buku buat keluarga dan sahabat taulan bukan tradisi baharu secara peribadi. Saya juga percaya, amalan menghadiahkan buku kepada orang lain juga bukan sesuatu yang baru dimulakan dalam kalangan bibliofil. Namakan apa sahaja apa keraian; ulang tahun kelahiran teman-teman, hadiah ganjaran cemerlang dalam peperiksaan buat anak-anak mahupun buah tangan ketika melawat saudara mara, saya percaya buku ialah hadiah yang signifikan buat para pencinta buku.
Jika ditelusuri dari kanta landskap buku negara pula, terdapat usaha membudayakan amalan menghadiahkan buku kepada orang lain dalam pelbagai skala. Institut Terjemahan & Buku Malaysia (ITBM) misalnya, pernah berinisiatif membudayakan memberi buku sebagai hadiah ganti kepada duit raya ketika Aidilfitri tahun lalu. Sebagai galakan kepada amalan tersebut, ITBM menawarkan pakej pembelian buku-buku terbitannya dengan harga yang signifikan dengan duit raya yang lazim diberikan; RM5, RM10 dan RM20 misalnya.
Dalam hal ini, timbul satu persoalan yang wajar difikirkan masyarakat massa dan penggiat industri buku. Sejauh manakah amalan menghadiahkan buku dalam kalangan masyarakat Malaysia subur digiatkan dalam setiap isi rumah? Adakah amalan tersebut hanya terhad kepada keraian tertentu atau diamalkan tanpa mengira sebarang perayaan?
Semua orang sedia maklum, keluarga merupakan asas pembentukan sahsiah dan keilmuan seseorang individu. Perkembangan sahsiah dan intelektualiti seseorang kanak-kanak bermula di rumah, tempat ia dibesarkan dan disediakan segala keperluan asas yang diperlukan seseorang manusia. Guru di sekolah cumalah mengambil alih sementara tugas ibu bapa di rumah melalui pendidikan formal manakala masyarakat ialah wadah praktik untuk seseorang individu berinteraksi memanfaatkan pengetahuan dan pengalaman yang dimilikinya.
Justeru, wajar sekali budaya ilmu melalui buku dimulakan di rumah. Amalan menghadiahkan buku kepada orang lain, bukan sahaja menumbuhsegarkan budaya membaca jika dilakukan dalam skala kecil seperti dalam isi rumah, tetapi juga menyemai usaha penyebaran ilmu, menggalakkan amalan memberi dan dapat mengikat tali silaturahim secara tidak langsung.
Fakta Nombor: Kadar Pemberian Buku Sebagai Hadiah
Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) dalam data yang dikeluarkan pada tahun 2005 membuktikan lebih kurang separuh rakyat Malaysia (55.1%) daripada rakyat Malaysia mengamalkan pemberian hadiah berupa buku kepada anak-anak di rumah sedangkan 44.9% yang lain tidak pernah memberikan buku sebagai hadiah kepada anak-anak mereka.
Pemberian hadiah buku kepada bukan ahli keluarga pula agak kecil peratusnya iaitu 24.6% berbanding 75.4% yang lain tidak memberikan hadiah berupa buku kepada bukan ahli keluarga.
Dalam satu soal selidik yang sama yang dipetik daripada Profil Membaca Rakyat Malaysia 2005 (PNM, 2006), menunjukkan bahawa, 30.9% daripada isi rumah berumur 10 tahun dan ke atas mengakui menerima hadiah berupa buku ketika mereka kecil. Hal ini agak kontradik berbanding item berkaitan dengan sikap mereka terhadap buku dan pembacaan dalam soal selidik yang sama. 40.5% daripada mereka menyatakan akan memilih buku jika diberi pilihan memberi hadiah.
Wajarkah pula angka-angka tersebut dibimbangi? Pada saya jika tidak dibimbangi pun, kita sewajarnya tidak boleh selesa dengan angka-angka di atas. Meskipun masih terdapat sebahagian rakyat Malaysia yang menjadikan buku sebagai hadiah kepada ahli keluarga dan bukan ahli keluarga, walau bagaimanapun amalan tersebut masih berada di peringkat yang sederhana dan perlu dihidupkan dalam pelbagai peringkat dan skala.
Meskipun kajian tersebut dilakukan pada tahun 2005 dan trend pembacaan kini berubah, namun demikian memberikan buku sebagai hadiah memberikan satu nilai sentimental yang lain berbanding nilai ilmu yang terkandung bersama-sama dengan naskhah yang dihadiahkan.
Peratusan yang dijelaskan misalnya bukanlah kayu ukur keseluruhan profil pembacaan dan amalan perbukuan dalam kalangan masyarakat, namun apa yang jelas, tingkat pembacaan dan budaya buku di peringkat isi rumah masih di peringkat yang sederhana dan perlu diberikan perhatian yang wajar.
Setidak-tidaknya, masyarakat Malaysia perlu memberi perhatian perkaitan amalan memberikan buku sebagai hadiah ini dengan kadar boleh membaca bagi kanak-kanak 5-9 tahun. Dalam analisis korelasi antara kedua-duanya yang dilakukan oleh Pearson, dapatan menunjukkan asosiasi antara memberi hadiah buku dengan boleh membaca isi rumah menerusi ujian Chi-Square ialah positif.
Memberi Buku Sebagai Hadiah
Oleh hal yang demikian, masyarakat wajar menukar sorot pandang aktiviti memberikan buku sebagai hadiah lebih daripada sekadar aktiviti memberi hadiah atau sekadar memberikan ganjaran sempena sesuatu atau ganti kepada duit raya atau hadiah Krismas misalnya. Namun demikian, amalan tersebut terkandung signifikasinya yang tersendiri yang dapat menyumbang kepada amalan pembacaan masyarakat Malaysia amnya.
Amalan ini juga tidak seharusnya terhad kepada lingkungan isi rumah sahaja kerana amalan pembudayaan ilmu melalui aktiviti pembacaan harus melepasi batas perimeter sesebuah rumah. Budaya sebegini juga wajar dihidupkan dalam semua peringkat dan lapis masyarakat, sesama rakan, sanak saudara malah wajar juga dihidupkan di tempat kerja.
Mengambil sempena Hari Kekasih pada 14 Februari ini, tiada salahnya kasih sayang di semua peringkat sama ada individu, keluarga, rakan-rakan malah antara pasangan kekasih dirayakan dengan asas pembinaan seseorang iaitu melalui ilmu atau lebih tepat; buku. Adakah anda sudah mula terfikir untuk menukarkan hadiah sejambak mawar merah dan sebekas coklat pada 14 Februari dengan senaskhah buku? Katakan sahaja kepada diri anda, mengapa tidak?

Leave Your Comments