DALAM era ledakan digital masa kini, adakah perpustakaan kini dilihat sebagai satu anakronisme; suatu premis yang sewajarnya berfungsi sebagai peti ilmu pengetahuan tetapi tujuannya tidak lagi bertepatan dengan aspirasi dunia digital?
Konsep perpustakaan sekolah kini dicabar oleh dunia digital. Dengan kapasiti untuk memuat naik buku-buku digital ke dalam rangkaian peranti digital memungkinkan pada masa akan datang, perpustakaan dilihat sebagai sesuatu yang tidak diperlukan oleh anak-anak muda; generasi Y2K. Mengapa harus pergi ke suatu ruang yang hanya menyimpan dan mengedarkan buku-buku– fikir mereka.
Murid-murid kini sudah siap sedia dengan tablet di tangan. Ibu bapa sudah siap sedia membekalkan iPad di dalam beg sekolah anak-anak mereka kini, menggantikan buku. Jadi hal-hal sebegini harus difikirkan oleh guru-guru dan pentadbiran pihak sekolah, adakah perpustakaan masih berfungsi seperti mana fungsi asalnya?
Pembaharuan (renaissance) perpustakaan
Jika kita masih melihat perpustakaan hanya semata-mata tempat untuk menyimpan dan peminjaman buku, maka di sinilah titik yang harus kita kaji dan muhasabah kembali. Perpustakaan seharusnya berfungsi lebih lebih daripada itu. Guru-guru harus percaya, perpustakaan lebih daripada hanya sekadar proses memudahcara, tetapi perpustakaan juga mempunyai signifikan budaya yang penting.
Perpustakaan seharusnya menjadi suatu tempat yang mengilhamkan. Lihat sahaja contoh-contoh perpustakaan utama dunia. Perpustakaan Iskandariah yang diingati hari ini sebagai fulkrum intelektual dan penciptaan, misalnya. Di sana Archimedes mencipta pam air berbentuk skru; Eratosthenes mengukur diameter bumi dan Euclid menemukan peraturan geometri.
Zaman Pembaharuan (The Renaissance) di Eropah menyaksikan perkembangan pesat perpustakaan seiring dengan penciptaan teknologi percetakan. Apa yang menarik bukanlah ledakan percetakan tersebut, tetapi bagaimana perpustakaan-perpustakaan ini dimanfaatkan untuk menampung hasil percetakan tersebut (buku-buku, manuskrip, dsb). Perpustakaan Vatican adalah contoh lain bagi hal tersebut; perpustakaan tersebut bukan sahaja berfungsi sebagai repositori buku tetapi tetapi sebagai ruang untuk tujuan pembelajaran. Tujuan ini telah disokong oleh British Library pada zaman moden yang menawarkan pengunjungnya pengalaman unik.
Jadi apakah signifikannya semua ini kepada sekolah? Hal-hal ini sudah tentukan memberikan signifikan besar. Sekolah harus percaya bahasa perpustakaan mempunyai kapasiti untuk mengalami renaissance-nya yang tersendiri. Hal ini demikian kerana revolusi digital telah mengubah segala-galanya.
Perpustakaan sekolah kini bukan lagi semata-mata buku konvensional yang memenuhi rak-rak, tetapi sebagai ruang, perpustakaan juga perlu mengilhamkan anak-anak muda.
Sesiapa sahaja boleh mempertikaikan hakikat bahawa fungsi perpustakaan memberikan akses kepada sumber pengetahuan akan menjadi kurang penting. Guru-guru dan murid-murid akan berkebolehan untuk mengakses sumber ilmu secara digital dari mana-mana sahaja di pelusuk dunia ini, asalkan sahaja ada sambungan internet.
Namuan demikian tidak semua murid mempunyai sambungan internet yang baik di rumah mereka, justeru perpustakaan harus terus menjadi tempat untuk menyalurkan ilmu maklumat secara digital.
Tetapi hal lain yang juga harus diberikan perhatian ialah sumber atas talian kini semakin banyak dan pelbagai, yang menyebabkan berlakunya berlaku kebanjiran maklumat. Terdapat ribuan malahan jutaan laman sesawang, blog, laman pembelajaran atas talian dan video. Jadi permasalahan utamanya bukanlah untuk mencari maklumat dalam internet, tetapi untuk menyaring maklumat yang baik dengan yang tidak baik daripada lautan maklumat yang ada.
Dalam era ‘buku kertas’, hal-hal sebegini dapat diselesaikan oleh pustakawan dengan memilih buku dan majalah yang ingin dipamerkan di rak-rak perpustakaan. Namun dalam era digital, saringan seperti ini agak susah untuk dilakukan meskipun ada jalan untuk menyekat laman sesawang yang tidak sesuai untuk kanak-kanak dan remaja. Hal tersebut bagaimanapun disukarkan dengan pembangunan teknikal laman sesawang dan pelayar yang sangat cepat.
Oleh hal yang demikian, peranan pustakawan dalam era digital perlu turut sama-sama berubah daripada hanya sekadar mengimbas barkod buku untuk tujuan peminjaman di kaunter dan menyusun buku-buku di rak kepada mengajar murid-murid bagaimana untuk menggelintar (search) pengetahuan yang ingin dicari daripada sekian luas lautan maklumat dan menilai sumber maklumat tersebut.
Murid sebagai sumber maklumat
Murid-murid sejak sekian lama menjadi pengguna utama maklumat yang terdapat di dalam perpustakaan. Justeru sudah tiba masanya, mereka belajar bagaimana maklumat-maklumat ini dihasilkan dan menjadi sebahagian daripada komuniti maklumat tersebut.
Perpustakaan harus menyokong murid-murid untuk menjadi pengeluar maklumat, bukan lagi sekadar pengguna atau pemanfaat maklumat. Menghasilkan hasil bentuk bertulis seperti esei, artikel dan lukisan ialah cara lama murid-murid menghasilkan maklumat daripada maklumat yang lain.
Namun dalam era digital, murid-murid boleh diajarkan untuk menghasilkan sendiri artifak digital seperti video, laman sesawang, blog, e-pembelajaran dan juga teknologi-teknologi terkini seperti hologram, augmented reality (AR) dan virtual reality (VR).
Justeru peranan baru perpustakaan antara lain adalah untuk membantu murid-murid dalam menjalankan proses produksi atau pengeluaran artifak-artifak digital ini. Hal ini boleh dibantu dengan memilih medium yang boleh dimanfaatkan oleh murid seperti kertas, video, laman web atau audio.
Perpustakaan seharusnya menyediakan keperluan dan peralatan bagi tujuan tersebut seperti komputer, kamera, mikrofon dan perisian penyuntingan seperti Final Cut, Adobe After Effects dan Sony Vegas. Di samping itu, struktur perpustakaan sekolah juga harus berubah. Berbanding memuatkan rak-rak buku dan memenuhinya dengan meja-meja belajar, bangunan perpustakaan juga haruslah menyediakan fasiliti lain seperti bilik rakaman, bilik penyuntingan dan bilik tayangan.
Antara contoh perpustakaan terbaik yang mengaplikasikan konsep ‘pelajar sebagai pengeluar/produser’ ialah Hunt Library di North Carolina State University, Amerika Syarikat.
Oleh hal yang demikian, untuk mencipta renaissance mereka sendiri, perpustakaan sekolah haruslah bertindak proaktif seiring dengan perkembangan zaman. Perpustakaan sekolah harus keluar daripada kepompong pemikiran ‘perpustakaan hanya tempat meminjam buku’ atau ‘perpustakaan sekadar ruang sesi P&P’. Muatan teknologi harus digerakkan seiring dengan persediaan murid-murid untuk bukan sekadar menjadi pengguna bahan-bahan digital, tetapi juga sebagai penterlibat dalam menghasilkan artifak ilmu berbentuk digital ini.
Dengan ini, pengalaman perpustakaan akan menjadi pengalaman unik yang menyeronokkan, bermanfaat dan memberikan inspirasi kepada murid-murid. Perlahan-lahan, pada tahun 2X50, perpustakaan bukan lagi tempat untuk murid-murid sekadar duduk, membaca buku dan mematahi arahan ‘dilarang membuat bising’ di dalam perpustakaan, tetapi tempat untuk mereka merekayasa ilmu melebihi batas kertas dan buku.