Saya dan teman-teman menghadiri konsert Pertunjukan Tutur Batin Yura Yunita di Zepp KL, malam Jumaat yang lalu (2 Februari 2023). Konsert yang saya sifatkan sebagai ‘a dream comes true’ kerana sejak berkenal dalam dengan muzik Yura lewat pandemik yang lalu, saya memang ingin menyaksikan beliau bersenandung secara langsung.
Dan impian itu akhirnya terlaksana.
Ini beberapa sorotan utama daripada pertunjukan tersebut:
1. Ayuh kita bicara tentang sosok Yura Yunita terlebih dahulu. Penyanyi pop Indonesia asal Bandung dengan personaliti yang unik. Suaranya yang mersik nan unik, lagu-lagunya yang menyentuh dengan lirik yang mewakili ‘tutur batin’ ramai orang – relatable kata orang muda, dan busananya, sumpah, no one can rock Sunda cultural outfit fused with athleisure selain Yura!
Saya pertama kali dengar Yura Yunita secara langsung ketika beliau membuka panggung Siti Nurhaliza On Tour di Axiata Arena pada tahun 2019. Tidak ramai yang memberikan perhatian kepada persembahan pembukaan Yura pada ketika itu. Lebih ramai yang tak sabar menanti-nantikan persembahan Bonda Ratu.
Siapa sangka, kini, Yura Yunita artis papan atas Indonesia dan punya penggemar tersendiri di Malaysia.
2. Yura membuka panggung Pertunjukan Tutur Batin dengan lagu Mulai Langkahmu, pilihan yang sangat persis. Lagu rancak yang mengajak kita semua, jika ada apa-apa impian dalam kepala, mulakan sahaja — kerana “rencana-rencana hanya jadi wacana / jika diam saja.“
3. Sebelum menyanyikan single terbaharu, Jalan Pulang, sekali gus OST untuk filem ‘Jalan Yang Jauh Jangan Lupa Pulang’, Yura bercerita tentang ilham di sebalik lagi tersebut.
Melodi awal Jalan Pulang terilham daripada rukun tawaf ketika Yura dan suami menjalani ibadah umrah tahun lalu.
Pergerakan tawaf yang melawan arah jam mencetuskan tafsiran bahawa kita sebenarnya berjalan untuk kembali, berbanding arah jam yang sifatnya “pergi ke hadapan/terus berjalan”. Menurut Yura, pulang itu abadi jika kita kembali kepada empunya diri, iaitu Cinta Sejati (Allah SWT). Interprestasi inilah yang memungkinkan ilham dua baris pertama lirik lagu ini, sehingga terngiang-ngiang ketika tawaf:
“Jalan yang jauh jangan lupa pulang / Pesan-pesan yang selalu saja terngiang”.
– Jalan Pulang
Jalan Pulang, pada saya, antara lagu dengan kata-kata sederhana tetapi paling bermakna daripada Yura — paling puitis setakat ini.
4. Sorotan utama Pertunjukan Tutur Batin, sudah tentu lagu Bandung!
Lagu dengan rentak gabungan jaz dan irama Jawa Barat, yang menceritakan keindahan ranah kelahiran Yura, dinyanyikan dalam bahasa daerah ibundanya, bahasa Sunda. Paling menakjubkan, penonton yang kebanyakannya orang Melayu Malaysia, tiba-tiba semuanya boleh berbahasa Sunda. Semua menyanyi sekali!
5. Yura menyanyikan lagu Merakit dengan gerak tari berdasarkan SIBI (Sistem Bahasa Isyarat Indonesia). Inklusif!
6. Berbanding memilih lagu pop terkini, apabila diminta menyanyikan cover lagu tempatan, Yura lebih memilih lagu P. Ramlee, Engkau Laksana Bulan. Versi Yura sungguh mengasyikkan sekali.
Yura memilih untuk menyampaikan lagu ini kerana ketika zaman kecilnya, dia sering mendengar neneknya mendengar dan menyanyikan lagu ini.
6. Yura menyanyikan lagu paling hitsnya, Tutur Batin — lagu yang mengajak pendengar menerima ketidaksempurnaan diri dan memeluk insecurity kerana kita sebagai manusia, “tidak perlu sempurna” dan perlu “merayakan apa adanya”.
Mereka yang tidak dapat menerima kekurangan diri kita, “silakan pergi, ku tak rasa kalah”. Lagu yang sangat menghidupkan, malah saya percaya, telah menyelamatkan banyak jiwa juga.
Apatah lagi, persembahan ini ditemani montaj wanita-wanita yang menunjukkan ketidaksempurnaan diri (terutama dari segi fizikal), termasuk imejan Yura sendiri, tanpa solekan yang penuh bekas jerawat dan cela-cela wajah.
Barangkali, kerana lagu ini mewakili suara hati banyak orang yang berlawan dengan ketidakyakinan diri, lagu ini mendapat tempat istimewa. Ada beberapa teman audiens juga kelihatan menangis dan tersedu-sedan. Tersentuh.
7. Yura menyanyikan lagu Cinta dan Rahasia, lagu yang dirakamkan beliau bersama mendiang Glenn Fredly — juga orang pertama yang meneroka bakat Yura menerusi rancangan The Voice Indonesia sekali gus penerbit album pertama Yura.
Apa yang menyentuh, Yura meletakkan kerusi kosong di sebelahnya bersama-sama topi koboi ikonik Glenn, dan suara Glenn bersipongang menyanyikan bahagiannya, seolah-olah mendiang ada bersama.
Sehabis nyanyian Yura menitiskan air mata. Audiens menangis. Saya pun menangis .
8. Yura turut menangis sehabis nyanyian ‘Dunia Tipu-Tipu’ yang diakhiri dengan lirik ”janji takkan ke mana-mana, ya?”. Barangkali terharu dengan sambutan peminat di Malaysia yang hadir.
9. Sebelum ke konsert, saya menjangkakan Yura akan menutup konsert dengan lagu ‘Bandung’.
Ternyata, pilihan Yura lebih bijak yang menutup panggung dengan lagu yang lebih fun iaitu ‘Harus Bahagia’, sambil memperkenalkan para pemuzik dan bergambar bersama penonton.
Para penonton menyanyi bersama, menari dan melompat, sehinggalah Yura menutup tirai persembahan dengan confetti dan bergambar bersama penonton.
Persembahan yang sempurna
Secara keseluruhan, Pertunjukan Tutur Batin dengan durasi satu jam setengah ini terasa cukup segala serba. Tidak ada yang kurang, tidak juga terasa berlebihan.
Yura menjanjikan 17 lagu, maka 17 lagu dinyanyikan. Interaksi Yura bersama peminat juga mesra, nyanyian yang tiada cacat di mana-mana. Perasaan berbaur dalam kalangan penonton; daripada bahagia, terkadang tertawa dan menangis bersama-sama.
Yang paling menyeronokkan, sudah tentu apabila menonton konsert dengan kawan-kawan yang kita suka! Semua boleh ‘sing-along’ sama-sama. Saya jarang tonton konsert beramai-ramai; paling ramai pun bertiga. Ini malam yang akan saya kenang sampai bila-bila.
Terima kasih Teh Yura! I love you so much. Semoga tidak serik ’manggung’ di Malaysia.
Janji takkan ke mana-mana, ya?