Penulis dan penyunting

#SamBaca: kumpulan cerpen ‘Rumah di dalam Pasu Bunga’

Dalam bauran realisme-magis yang menjadi ranah permainan kreatif Haniff Yusoff, kesemua dua belas cerpen dalam kumpulan cerpen terbaharunya, Rumah di Dalam Pasu Bunga masih berkeliling dalam putaran lazim yang sudah sinonim dengan karyanya—bahasa, budaya, sejarah, dan jati diri, tema yang turut menjadi nadi beberapa kumpulan cerpennya sebelum ini.

Gaya dan kecenderungan ini memperlihatkan kesinambungan visi penulis dalam mengangkat persoalan-persoalan mendasar yang membentuk manusia dan masyarakat.

Beberapa cerpen seakan-akan terjelma sebagai autofiksyen, atau mungkin sahaja ia hanyalah terkaan saya sebagai pembaca yang kebetulan mengenali susuk pengarangnya—sebuah percubaan mental untuk memadankan peristiwa di dalam teks dengan kemungkinan pengalaman sebenar yang pernah dilalui oleh penulis. Pendekatan ini memberi warna tambahan kepada pengalaman membaca, seolah-olah membuka ruang untuk meneka batas antara realiti peribadi dan imaginasi, untuk saya secara peribadi setidak-tidaknya.

Terdapat juga cerpen yang merakamkan ruang masa yang menjadi sejarah penting manusia moden—era pandemik COVID-19—dengan segala kerancuan, kesunyian, dan pencarian makna yang menurutinya (‘Menjadi Fetus Semula’, ‘Perempuan yang Menangis di Hujung Tasik’). Rakaman ini bukan sahaja menjadi latar cerita, tetapi berfungsi sebagai cerminan kolektif terhadap juzuk masa yang menjadi titik penting dalam ingatan manus sejagat.

Selain premis cerita yang menjanjikan, kekuatan Haniff Yusoff terletak pada langgam bahasanya. Beliau memiliki suara yang tersendiri—suara yang hidup dalam permainan kata, lagu bahasa, dan keberanian memilih sudut pandang orang pertama. POV ini, yang jarang diteroka secara mendalam oleh cerpenis tempatan, memberinya kelebihan untuk mengheret pembaca terus ke dalam ‘jantung’ watak, membolehkan suara persona itu menjadi begitu peribadi, intim, dan meyakinkan.

Haniff juga secara cermat bermain dengan lambang dan tanda dalam beberapa cerpen. Haniff sangat mempercayai pengamat cerita-cerita yang beliau hidangkan untuk ‘membaca’ garis siluman representasi-objek-interpretan (dengan rujukan semiotika Peirce) dalam beberapa cerpennya (‘Alegori Cempedak Goreng’).

Namun begitu, saya amat berharap Haniff tidak terlalu mencuba untuk menyulamkan unsur faction (gabungan fakta dan fiksyen) dalam beberapa cerpennya.

Jika teknik ini tidak dimahiri sepenuhnya, ia berisiko mendatangkan rasa canggung—atau yang selalu saya gelarkan rasa “tiber” yang agak mendadak.

Misalnya, dalam cerpen ‘Jongkang-Jongket’ (hlm. 70) dan ‘Alegori Cempedak Goreng’ (hlm. 100), percubaan Haniff untuk “memaku” makalah akademik pada dinding naratif terasa sedikit janggal dan merencatkan kelancaran alur penceritaan. Walaupun mungkin dimaksudkan sebagai sisipan intelektual atau ilmu bantu, peralihan yang terlalu ketara itu sedikit sebanyak menjejaskan imersi pembaca.

Masih, Rumah di dalam Pasu Bunga ialah sebuah naskhah yang harus dikuliti peminat karya sastera terutama cerpen.

Cerpen kegemaran: Dia Bersumpah Telah Membunuh Saka Keperempuanan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *