Dunkirk (2017): Ilusi Bunyi dan Genderang Perang

PIN

SAYA ‘terlewat kereta api’ menonton filem epik arahan dan lakon layar oleh Christopher Nolan, Dunkirk (2017) yang sebelumnya menghidangkan kita dengan realisme-magis Inception (2010) dan sains fiksyen Intersetllar (2014).

Entah di mana saya pada penghujung 2017. Tetapi saya bernasib baik laman penstriman Netflix mengedarkannya kini, tetapi barangkali terasa rugi kerana filem sebaik Dunkirk yang sememangnya menghidangkan gambar dan visual, pantas sebenarnya dinikmati di sinema. Saya membayangkan alangkah kaya pengalaman wayang saya jikalau Dunkirk ditonton di layar lebar.

Siapa sangka selepas dua tahun kurang lebih, Dunkirk membuka jurnal filem 2020 saya.

Setelah menghidangkan kita cerita adiwira, realisme-magis dan fiksyen sains, bagaimana agak-agaknya cereka perang di tangan Nolan? Bagaimana Nolan akan bermain ilusi bunyi di dalam filem yang tentu sekali akan dibingitkan dengan bunyi ledakan bom, tembakan peluru dan percik api di sana-sini?

Dunkirk atau Dunkirk evacuation seperti mana tersimpan kemas dalam lipatan sejarah Britain semasa Perang Dunia Kedua, bukanlah episod kemenangan, tetapi episod kekalahan.

Dunkirk, yang ditukang Nolan membingkaikan survival askar-askar yang terperangkap di Dunkirk. Mereka ingin keluar, menyelamatkan diri pulang ke Tanah Ratu, setelah dikepungi musuh yang melingkari Selat Inggeris. Mereka ingin keluar dari Dunkirk sebagai menyahut seruan Perdana Menteri, Winston Churchill pada ketika itu, agar kembali ke tanah air.

Exploring the Understated Heroism of 1917 and Dunkirk – /Film

Kata penerbitnya, Emma Thomas “Dunkirk is an art movie disguises as studio movie” dan saya dapat melihatnya dengan jelas sekali. Sebagai sebuah filem berskala besar, meskipun arus cerita Dunkirk ialah tentang ‘keluar’ daripada lingkaran musuh, tetapi premis kemanusiaan menunjanginya dengan kemas sekali.

Ini dibuktikan dengan beberapa adegan peristiwa, antara lain ketika operasi menyelamat turut disertai bot-bot komersial dari tanah air.

Sebagai peminat warna di dalam wayang gambar, tona Dunkirk memberi mood yang tepat. Warna Dunkirk ialah warna-warna laut dan warna tanah yang berbaur, sesekali tona langit juga mendominasi bingkai. Warnanya suram, tetapi terang semacam memberi harapan.

Ini sesuai dengan tiga perspektif cerita yang digagaskan Nolan — pesisir pantai, laut dan udara. Dan sebagai sutradara yang gemar bermain dengan konsep masa, penonton juga perlu ‘membaca’ Dunkirk dengan cermat. Setiap perspektif bermain dengan julat masa yang berbeza.

Bagaimanapun, ketiga-tiga perspektif dan julat masa ini bertembung dan dileraikan dengan kemas sekali pada Act III

Menonton Nolan juga, tidak dapat tidak, penceritaannya pasti sahaja dikesankan dengan ilusi bunyi yang mendominasi runut bunyi.

Dunkirk' review: Christopher Nolan and Harry styles are at their best -  Insider

Nolan masih mengekalkan bunyi ‘detak jam’ yang sudah identik dengan kepengarahannya, terutama pada pembukaan filem. Ilusi bunyi ini semacam menjadi genderang perang yang mendetakkan jantung penoton. Kita akan terikut debar ketika laskar-laskar Inggeris bersembunyi di dalam bot di tepi pantai dan ditembak dari luar atau ketika tentera yang berlumur minyak di perkarangan laut dihinggap api oleh hempasan pesawat perajurit udara , misalnya.

Skor di tangan Hanz Zimmer di dalam Dunkirk semacam magis. Bunyi-bunyi (dan kesunyian) menjadi latar pada detik, suasana dan babak peristiwa dengan sangat tepat.

Saya bukanlah peminat filem perang sebenarnya, tetapi Dunkirk sangat berbaloi untuk ditonton jika penonton mendambakan visual, bukan semata-mata cerita.

8/10. Ditonton di Netflix.

(p/s: Oh ada penyanyi kegemaran saya juga di dalamnya, Harry Styles)

Leave Your Comments