Causeway (2022): Kesembuhan Ialah Perjalanan Nan Sunyi

PIN

Jennifer Lawrence kembali ke akar indienya dalam filem sulung arahan Lila Neugebauer, Causeway. Filem ini melukiskan sungkawa, trauma dan persahabatan yang mengharukan; beransur-ansur berkembang menjadi pukulan perasaan yang menghentak nubari penonton. Neugebauer memanipulasi naratif ini dalam durasi 90 minit yang padat, tetapi digarap perlahan.

Lynsey (Jennifer Lawrence) merupakan seorang tentera Amerika Syarikat yang terlibat dalam kemalangan letupan bom semasa berkhidmat di Afghanistan dan mengalami kecederaan traumatik pada otak, yang memaksanya pulang ke kampung halaman di New Orleans.

Sekembalinya ke tanah air, Lynsey yang berlawan dengan gangguan motor tubuh badan dan isu kesihatan mentalnya terpaksa berhadapan dengan ‘peperangan’ yang baharu. Dia terpaksa menyesuaikan diri dengan kehidupan normal yang jauh daripada huru-hara pergolakan senjata, menangani hubungan yang tegang dengan ibunya (Linda Edmon) dan cuba mengemudi persahabatan baharu dengan mekanik tempatan, James (Brian Tyree Henry), dan memastikan dia cukup pulih supaya dapat ditugaskan di medan perang semula.

Lynsey terpaksa berhadapan dengan kasus-kasus ini sendirian. Walaupun tidaklah berseorangan, perjalanannya bertemu kesembuhan akhirnya tetap sebuah perjuangan nan sepi.

Causeway

Jennifer Lawrence seorang aktres yang sangat ‘memberi’, yang faham kerja-kerja kamera dan arif memberi sisi terbaik untuk ditonjolkan kepada khalayak. Persembahannya dalam Causeway tidak mustahil akan memungkinkannya menerima pencalonan Oscar yang kelima dalam musim yang akan datang (dengan satu kemenangan sudah pun berada di tangan).

BACA: mother! (2017): Membaca Tanda Ibunda

Regu Lawrence, Brian Tyree Henry juga mempersembahkan lakonan yang tidak kurang hebatnya. Berbeza dengan lakonan komedinya dalam Bullet Train pada awal tahun ini, persembahannya dalam Causeway melelehkan emosi dan kerumitan seorang lelaki, melengkapi latunan perasaan yang dilontarkan Lawrence.

Keserasian kedua-dua pemeran ini di skrin menjadi bahagian paling penting dalam filem ini kerana mereka berkongsi bual-bual yang mendalam tentang kehidupan dan menyalurkan emosi yang saling melengkapkan. Kedua-dua watak menjalin persahabatan yang penting, yang akhirnya memungkinkan dampak besar terhadap kehidupan peribadi mereka kemudiannya.

Causeway

Causeway meneroka luka yang lebih dalam berbanding kecederaan kepala Lynsey atau kaki James yang hilang. Meskipun lebih dikenali dengan kerja-kerja teater terutama di Broadway, garapan filem cereka pertama Lila Neugebauer menjanjikan dan wajar ditonton.

 

Leave Your Comments