“Membunuh sama seperti merokok. Ia hanya sukar untuk pertama kali.”
Decision to Leave (2022) ialah sebuah tragedi yang indah. Kelarai romansa dijalin kemas dengan subgenre penyiasatan; menghasilkan sebuah paradoks yang bukan sahaja menjadi, malahan mencetus katarsis.
Ia tidak terlalu mencuba mencucuh cemas, tidak pula juga menyuguhkan cinta, tetapi harmoni terasa di mana-mana.
Decision to Leave juga sebuah filem yang mengghairahkan, tanpa perlu memaparkan apa-apa adegan di atas ranjang.
Ia bercerita tentang obsesi seorang penyiasat terhadap suspeknya, tetapi dalam masa yang sama juga berkisah tentang obsesi suspek terhadap pemburunya.
Mereka saling berkejaran, berpapasan lalu berpergian, tetapi kedua-duanya tidak pernah benar-benar saling meninggalkan.
Peranan polis penyiasat bernama Hae-jun dimainkan oleh aktor Korea Selatan, Park Hae-il. Kisah bermula apabila Hae-jun dikehendaki menyiasat kes kematian seorang lelaki yang jatuh dari puncak gunung, dan mempertemukannya dengan Seo-Rae (lakonan aktres handalan China, Tang Wei), balu jelita mendiang lelaki tersebut, sekali gus dianggap suspek utama pembunuh.
Seperi ada cap jari Hitchcock ditinggalkan hampir di mana-mana dalam filem berdurasi 140 minit ini, dalam sela imejan gunung, laut, darah dan gari. Pengaruhnya mungkin sahaja sengaja atau tidak disengajakan, tetapi mengesankan.
Garapan berani Park Chan Wook memungkinkan beliau merangkul pulang Pengarah Terbaik sewaktu filem ini ditayangkan sewaktu Festival Filem Cannes tahun ini.
Ditonton di TGV One Utama.
(p/s: Sehingga catatan ini ditulis, Decision to Leave masih ditayangkan di semua pawagam utama negara.)