Rumah Kumuh oleh SM Zakir: memenangkan cerita berbanding bentuk

PIN

Rumuh Kumuh ialah himpunan cerpen-cerpen mutakhir SM Zakir (penerima Anugerah Penulisan S.E.A 2011) atau tepatnya sekitar tahun 2020-2021—tahun-tahun dalam juzuk dekad ini yang diingati oleh umat manusia sedunia sebagai tahun-tahun gelora, di mana dunia dilanda wabah COVID-19 yang barah.

Pertama, dari aspek penerbitan, saya suka akan saiznya yang kompak dan nipis. Kalau yang mengulitinya seorang pembaca cepat, dalam sekali duduk sahaja rasanya buku ini boleh habiskan.

Kalau kita menyikapi penerbitan himpunan cerpen seperti penghasilkan album oleh seseorang artis, Rumuh Kumuh lebih kepada EP (extended play) oleh SM Zakir berbanding sebuah album. Naskhah comel ini juga cuma mengandung sembilan buah cerpen dan termuat dalam kuras yang tidak sampai pun 100 halaman. Ia tidak mewakili body-of-work SM Zakir yang jati, lebih kepada kompilasi cerita sahaja.

Rumah Kumuh dalam bauran autobiografi

Sebagai seseorang yang mengenali susuk pengarangnya, ada beberapa cerpen ini terasa seperti ada bauran autobiografi. Semacam membaca jurnal peribadi SM Zakir pula, apatah lagi ada beberapa cerpen memang mencatat pengalaman sewaktu pandemik, memperlihatkan sisi pengarang/penerbit dan penjual buku pada watak-wataknya.

Ini sudah tentu tiada masalah. Akan tetapi daripada seorang cerpenis mapan seperti SM Zakir, saya mengharapkan sesuatu yang lebih menyihir, yang memaku mata saya dari kata ke kata. Cerita-cerita yang tidak membuatkan saya menerka-nerka, siapakah si polan-si polan yang dimaksudkan dalam cerita-ceritanya.

Ada beberapa cerpen dalam Rumah Kumuh meneroka tema yang menarik. Cerpen pembuka, “Bilik Tengah” misalnya bermain dengan elemen mistik/misteri yang menyimpan rahsia sebuah keluarga turun-temurun dalam sebuah rumah warisan.

“Laut dalam Kota” semacam satu catatan kembara ke Kota Manila. Apa yang menarik, menerusi watak utamanya, Daim, SM Zakir bercerita tentang kelompok masyarakat Bajau Laut yang hidup penuh daif di tengah-tengah metropolitan Manila. Ada bahagian dalam cerpen ini, SM Zakir memerikan betapa kotor dan jijik suasana kehidupan daif suku kaum ini sehingga terasa meloyakan pembaca.

“Rumah Kumuh” pula mengangkat tema perbezaan darjat dan status sosioekonomi di suatu kawasan perumahan. Barangkali tema sebegini terasa sedikit lapuk bagi zaman pascamoden, namun dalam suasana masyarakat hari ini yang gemar mengotakkkan masyarakat dalam label B40, M40 dan T20, cerpen ini terasa sejadi sekali.

Dalam banyak-banyak cerpen yang memantulkan sisi peribadi SM Zakir, “Dunia Kalut Senja”-lah cerpen yang paling autobiografi setakat ini. Nothing screams “SM Zakir” like this short story. Cerpen ini menyorot perjalanan wataknya, seorang bapa dan juga pengusaha sebuah rumah penerbitan tergesa-gesa menyiapkan penerbitan lima judul buku ketika kerajaan mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) betul-betul pada sebelum tarikh akhir cetakannya. Kedengaran familiar, bukan?

Walau bagaimanapun, beberapa cerpen terasa mendatar ritmanya. Hanya ada satu dua cerpen yang okey, menurut selera saya. Cerita-ceritanya tidak terlalu bermain dengan bentuk dan gaya seperti kumpulan cerpen yang lain. Untuk pembaca yang gemarkan cerpen-cerpen SM Zakir era Merengkuh Langit dan Bidadari Burung, Rumah Kumuh tidak begitu memenuhi jangkaan saya.

Namun saya merasakan ini dilakukan dengan sengaja, seperti petikan di halaman rangsang sari: “Rumuh Kumuh terhasil dalam tahun 2020 hingga 2021 adalah cerpen-cerpen yang ingin berkomunikasi tentang ranah kehidupan mutakhirnya”. SM Zakir terlebih awal mengingatkan, dia mahu memenangkan cerita berbanding bentuk.

Ada banyak juga kesalahan tatabahasa dan ejaan (maaf, saya tidak dapat menanggalkan topi editor sewaktu membaca!). Adakah Rumuh Kumuh salah satu daripada lima judul yang disiapkan terkocoh-kocoh oleh ‘aku’ dalam “Dunia Kalut Senja”? Tidaklah saya ketahui. Cuma saya berharap kalau buku ini masuk cetakan kedua, kesalahan-kesalahan ini dapat dibetulkan.

Dan kalau perlukan khidmat baca pruf, *wink wink* saya sedia membantu!

Cerpen kegemaran: Laut dalam Kota
Cerpen ‘ya ampun cepatlah habis’: Menara Mata

Leave Your Comments