KALI terakhir saya mengalirkan air mata menonton filem tempatan adalah ketika menonton filem Abang Adik (2023) pada hujung tahun lalu. Nampaknya, Rain Town (2024) yang saya tonton minggu ini juga menerobos ruang jiwa saya dengan acuan yang sama.
Filem ini juga menghidangkan cerita yang sederhana namun meruntun perasaan dan mendamaikan jiwa dalam masa yang sama.
Jika Abang Adik mengangkat tema hubungan adik-beradik yang sarat dengan kritikan sosial, Rain Town bermain dalam lingkungan cerita kekeluargaan.
Rain Town membawa kita berkenalan dengan sebuah keluarga sederhana di pekan paling basah di Malaysia dengan taburan hujan tertinggi – Taiping, Perak. Choo (lakonan Chew Kin Wah), watak bapa dalam keluarga ini merupakan seorang yang konservatif dan keras kepala.
Seorang pesara kerani bank dan bekas pembuat tanglung, Choo juga gemar bermain judi hujan (kearifan tempatan Taiping yang saya kira menarik untuk diketengahkan) dengan rakan-rakannya pada masa senggang, sehingga mengambil ringan hal-hal rumah tangga.
Sebagai seseorang yang berpegang teguh kepada nilai-nilai tradisi sesebuah keluarga Cina, Choo mempunyai gagasannya yang tersendiri tentang makna kebahagiaan dalam kehidupan. Namun dalam dunia yang tidak unggul, makna bahagia yang dipegang Choo memberi dampak yang berbeza kepada dunia di sekelilingnya.
Anak sulungnya, Isaac (Fabian Loo) terpaksa mengesampingkan minatnya dalam bidang muzik kerana ingin memenuhi keinginan Choo yang mahu melihatnya menjadi doktor perubatan paling dihormati di Taiping.
Anak tengahnya, Alex (Wilson Lee) pula merupakan seorang anak yang ateng namun pemberontak, kerana Choo terlalu mengatur-atur hidupnya dan adik-beradik yang lain. Alex dalam masa yang sama mencari jalan keluar daripada keluarganya.
Ruby (Pauline Tan), satu-satunya anak perempuan, sepatutnya berkahwin dengan lelaki yang dicintainya namun terhalang oleh campur tangan Choo. Ruby bercita-cita membuka sebuah bakeri namun tidak yakin dengan kemampuan dirinya.
Di samping seorang ayah yang selalu bersikeras dengan perancangannya terhadap anak-anak, ada seorang isteri dan ibu di sisi yang kekal tenang dan menenangkan dalam semua keadaan.
Isteri Choo, Aileen, seorang wanita berketurunan Serani (lakonan mantap pelakon veteran Susan Lankester) selalu ada dalam membujuk gejolak perasaan anak-anak dan melenturkan kebabilan Choo.
Namun, tragedi demi tragedi terjadi sehingga menggoyahkan hubungan keluarga sederhana ini. Seperti hujan yang renyai di pekan Taiping, keluarga ini cuma ada dua pilihan untuk terus ke hadapan; sama ada memeluk damai dalam kebasahan atau membiarkan ribut membadai hidup.
BACA: Budi Pekerti (2023): Kejujuran yang Terhukum
Rain Town bukan cerita one-dimensional
Pada babak-babak awal, Rain Town barangkali terlihat seperti sebuah kisah keluarga yang ekamatra, apatah lagi untuk sebuah filem yang ditayangkan bersempena Tahun Baharu Cina.
Pada lapis pertama, filem ini menyentuh isu-isu kekeluargaan yang lazim kita temukan dalam kebanyakan filem atau drama berkisar kekeluargaan – cita-cita terkekang kerana kehendak keluarga, bapa yang pelindung dan keras kepala, cinta terhalang oleh orang tua dan hal-hal klise yang lain.
Namun pada lapis-lapis yang berikutnya, ia menelusuri lembar perasaan yang kompleks, yang barangkali boleh ditemukan para penonton sendiri dalam kehidupan mereka sehari-hari bersama keluarga tercinta.
Saya kira menarik untuk kita lihat bagaimana dinamika dan konflik sesebuah keluarga boleh memberi dampak yang berbeza kepada sikap dan motivasi anak-anak. Paduan Choo yang keras kepala dan Aileen yang tenang menerbitkan pandangan dunia (Weltanschauung) yang unik antara Isaac, Alex dan Ruby.
Walaupun menyentuh isu-isu kekeluargaan yang lazim, namun kesederhanaan Rain Town banyak diselamatkan oleh persembahan lakonan kesemua pemeran, terutama Chew Kin Wah dan Susan Lankester.
Chew Kin Wah misalnya berjaya menjelmakan watak bapa yang konservatif dan keras kepala namun masih masih ada sisi-sisi kecindan dan penyayang pada dirinya. Ini menjadikan Choo watak yang tidaklah dibenci penonton dan masih likeable bagi watak figura bapa di layar lebar.
Namun kredit yang paling perdana harus diberikan kepada Susan Lankester. Selain berjaya melakonkan watak seorang ibu dengan bahasa mata dan tubuh yang menenangkan, Susan juga melontarkan dialog dalam percampuran kod bahasa Kantonis dan Inggeris dengan baik.
Saya difahamkan Susan memang fasih dalam bahasa Mandarin, namun Kantonis merupakan bahasa yang berbeza sama sekali Mandarin dan sudah pasti memerlukan latihan lakonan yang intensif.
Lakonan watak anak-anak juga sangat cemerlang terutama Fabian Loo. Ada beberapa adegan yang sangat mengesankan seperti pertengkaran Isaac dan Alex di dalam kereta, yang melontarkan dialog yang membuatkan saya terpaku, “benarkah dalam hidup, kita ada pilihan?”
Objek budaya yang ‘bercerita‘
Sukar membayangkan Rain Town ditulis dan diarahkan oleh penulis lakon layar dan pengarah berbangsa Melayu. Garapan skrip oleh Azril Hamzah dan Zarina Omar (serta dialog bahasa Kantonis oleh Sky Khor) serta arahan Tunku Mona Riza (yang menghidangkan kita filem Redha pada tahun 2016) sangat mengagumkan.
Batasan bahasa ternyata bukanlah penghalang untuk seseorang sutradara mengadun bahasa dan budaya yang asing dengan dirinya.
Tunku Mona juga membuktikan bahawa untuk menghasilkan sebuah filem yang harmoni, kita tidak perlu terlalu mencuba menyuguhkan idea berbilang bangsa di layar perak sehingga terlihat semacam propaganda atau gemaan slogan kerajaan. Tunku Mona membiarkan keharmonian ceritanya mengalir tanpa perlu dipaksa-paksa.
Saya juga suka bagaimana landskap Taiping dimanfaatkan dengan baik menghidupkan sinematografi filem ini. Kesederhanaan pekan Taiping secara tidak langsung turut sama bergerak seiring seperti sederhananya cerita yang mendasari Rain Town.
(Sehinggakan oleh sebab beberapa syot, membuatkan saya sangat ingin ke Taiping!)
Ia mengingatkan saya kepada bagaimana filem-filem Allahyarhamah Yasmin Ahmad menghidupkan bandaraya Ipoh dan bagaimana telefilem/drama arahan Sabri Yunus membesarkan jajahan-jajahan di Kelantan.
Objek-objek budaya dalam filem ini turut ‘bercerita’. Selain judi hujan yang saya sebutkan, beberapa kearifan tempatan lain turut diangkat seperti kuih bulan yang dibikin Aileen pada masa lapangnya (yang saya bayangkan sebagai satu simbol resilient bagi Aileen) dan juga perniagaan tanglung yang ditinggalkan Choo.
Namun jika saya di posisi penulis lakon layar dan pengarah, saya akan lebih memanfaatkan tanglung pada akhir cerita dalam jalinan semiotik, bagi menterjemahkan nyalaan harapan baharu.
Barangkali ada adegan cubaan memanfaatkan tanglung, namun pada saya tidak begitu ‘bercerita’ dan hanya hidup sebagai latar belakang, bukan sebagai ‘watak’.
Pada akhirnya, selain elemen teks (cerita), elemen subteks juga menjadikan sesebuah gambar bercerita.
Rain Town bukanlah sebuah filem yang sempurna. Ada lompang di sana-sini pada garapannya namun seperti mana hujan di Taiping yang renyai, ia tidak gagal menyentuh rasa, membasahkan jiwa dan mendamaikan nuraga.
Saya menyeru semua rakyat Malaysia filem yang indah ini. Sehingga ulasan ini ditulis, Rain Town masih ditayangkan di pawagam-pawagam tempatan. Ia filem wajib ditonton paling tidak sekali seumur hidup.
** Ditonton di TGV Pavilion Bukit Jalil