Budi Pekerti (2023): Kejujuran yang Terhukum

PIN budi pekerti

Kalau dunia terlalu berisik, tutup telingamu, pejamkan mata dan dengarkan detak jantungmu. Dan berterimakasih untuk hari ini.

– Ibu Prani

BUDI Pekerti membuka layarnya dengan membina latar dan dasar cerita yang kukuh bagi melukiskan suasana sebuah keluarga ketika pandemik – sang ibu, seorang guru yang mengajar secara maya melalui komputer riba, seorang anak lelaki yang menjadi pempengaruh ‘healing’ melalui tauladan haiwan, seorang anak perempuan anti kemapanan (anti-establishment) menjual baju terpakai dalam talian dan seorang bapa kehilangan perniagaan dan menghidap gangguan bipolar.

Ada satu kejadian di pasar ketika sang ibu, Prani (lakonan Sha Ine Febriyanti) menunggu giliran membeli putu kelapa, berlaku perselisihan antaranya dengan pembeli yang lain yang mencurangi giliran. Pasar heboh seketika dengan amarah Prani terhadap ketidakadilan yang berlaku. Sebuah video 30 saat dimuat naik di Internet, menyebabkan berlaku salah faham yang lain yang lebih pula di ruang maya.

Sha Ine Febriyanti sebagai Prani dalam Budi Pekerti (FOTO: IDN Times)

Kejadian tersebut seperti batu yang dilempar ke air tenang – mengocakkan riak peristiwa demi peristiwa yang perlahan-lahan meruntuhkan institusi keluarga, masyarakat dan yang lebih membimbangkan, meruntuhkan peribadi seseorang.

Budi Pekerti merakamkan gelombang peristiwa tersebut sehinggalah detik-detik deras yang menenggelamkan dan melemaskan watak utamanya.

Ia sebuah cereka amar (cautionary tale) tentang betapa bahaya budaya pengenyahan atau boikot massal (cancel culture) yang leluasa di media sosial, apatah lagi jika sesebuah cerita yang tular tidak dicermati cerita sebenar yang tersembunyi di sebalik tampang syilingnya.

Dalam kes Prani misalnya, siapa sangka nawaitu meluruskan ketidakadilan di pasar berakhir dengan salah sangka yang besar di dunia maya. Ia berlaurutan dengan pendapat demi pendapat, reaksi demi reaksi, fitnah, cucuhan jenaka sehingga menggadaikan kerjaya Prani sebagai guru kaunseling yang disanjung ramai, malah mencagarkan peluang kenaikan pangkat Prani sebagai Timbalan Pengetua di sekolahnya.

Mengeluarkan video penjelasan lebih membarahkan keadaan dan tidak menyelesaikan apa-apa. Lebih mengeruhkan keadaan, marah.

Budaya pengenyahan yang meluluhkan hidup Prani dan menjejaskan hubungannya bersama keluarga ialah bukti buli siber bukanlah jalan terbaik untuk menghukum seseorang di laman maya, apatah lagi yang dihukum ialah sebuah kejujuran.


Distopia tanpa perlu berlatar distopia

Walaupun dihidangkan dalam bentuk dramedi (drama/komedi) dan bancuhan kekeluargaan, tanpa kita sedari, Budi Pekerti pada saya sebenarnya sebuah filem distopia tanpa perlu membina semesta yang distopia ala apokalips segala.

Ia menggeletek kecindan. Kita ketawa, tanpa kita sedari yang kita ketawakan ialah dunia yang kita diami hari ini. Budaya pengenyahan yang dialami Prani sekeluarga hakikatnya terjadi secara nyata. Kita cepat sekali menghukum isu-isu tular, kadang-kadang dengan sepatah dua kata cuma di ruangan komen, tetapi siapa sangka kata-kata yang kita tinggalkan itu memberi kesan seumur hidup kepada seseorang di dunia nyata.

Peranti pintar hari ini seolah-olah sudah menjadi senjata. Lihat sahaja adegan anak perempuan Prani, Tita (lakonan hebat Prilly Latuconsina) ketika menyanggah sidang editorial Gaung Tinta di pejabat mereka. Belum pun sempat Tita menghempaskan amarahnya (kerana memancing clickbait fitnah di laman mereka), masing-masing sudah siap sedia dengan telefon pintar di tangan, merakam bukti yang bakal dijadikan senjata kelak.

Budi Pekerti

Begitu juga dengan adegan perdana ketika Prani ‘berantem’ dengan pembeli putu di pasar. Tidak ada langsung warga lain yang mampir membantu menyelesaikan kasus, yang ada hanya jujukan telefon pintar merakam peristiwa.

Begitu juga dengan adegan Prani ke rumah salah seorang bekas muridnya, seorang penggiat NGO pendidikan, bagi meminta bantuan. Ketimbang menolak permintaan secara terhormat, bekas muridnya itu sekadar menjulurkan tangan di pintu dengan telefon pintar, bersedia merakam sebarang kemungkinan yang boleh dijadikan bukti untuk ‘mengganyang’ Prani kemudian hari.

Tidakkan ini hal-hal distopia yang mengerikan, yang hakikatnya sudah pun terjadi dalam dunia realiti kita hari ini?


Meluruskan budi pekerti

Satu hal lain yang saya suka tentang Budi Pekerti ialah bagaimana pengarahnya Wregas Bhanuteja, memanfaatkan latar tanah lahirnya, Yogyakarta dalam gambar-gambarnya. Pemanfaatan gambaran suasana sehari-hari Jogja, apatah lagi ketika era pandemik menjadikan filem ini sangat membumi dan menyerlahkan sisi Indonesia-nya.

BACA: Past Lives (2023): Bahasa Sepi Adalah Bahasa Peribadi

Penggunaan bahasa Jawa atau bahasa Indonesia beraksen Jawa hampir sebahagian besar filem ini juga wajar diberikan kredit.

Juga lakonan luar pemerannya terutama watak Prani sendiri lakonan Sha Ine Febriyanti, yang pada saya berjaya menghidupkan watak seorang guru yang unggul dan bundar, tidak hanya one-demensional. Watak Ibu Prani dapat saya rasakan seperti ‘kad terima kasih’ perdana terutama buat guru-guru Indonesia (atau di mana-mana sahaja), atas kejujuran dan jasa mereka meluruskan budi pekerti kita.

Lihat sahaja adegan dalam babak terakhir ketika Ibu Prani memenangkan kerahsiaan bekas anak muridnya, Gora (lakonan Omara Esteghlal), ketimbang menyelamatkan kerjayanya. Ia kejujuran yang mahal dan tidak memenangkan ego sendiri.

Sha Ine membawakan watak Ibu Prani sehingga kita turut dapat merasakan keistimewaan sosok peribadinya. Tidak hairanlah beliau berjaya memenangkan Piala Citra sebagai Pelakon Wanita Terbaik dalam Festival Film Indonesia edisi yang lalu.

Budi Pekerti
Angga Aldi Yunada sebagai Muklas, pempengaruh gen Z (FOTO: Magdalene.co)

Pujian juga harus diberikan kepada pendukung yang lain seperti Prilly Latuconsina, Dwi Sasono sebagai bapa yang bipolar dan Angga Aldi Yunanda sebagai Muklas. 

Lakonan Angga yang lazim di wayang Indonesia memerankan watak yang macho dan lelaki pencinta, berjaya sebagai pempengaruh gen-Z yang berwajah awam (meminjam slanga popular masa kini). Wataknya tidak hanya kecindan, malah melakonkan detik-detik dramatik dengan cemerlang sekali.


Filem terbaik Indonesia 2023

Setelah keluar daripada pawagam menonton filem ini semalam, saya menyedari filem ini menghidangkan premis yang mudah yang maha paradoks.

Ia menghantar pesan bahawa dalam dunia yang bingar dengan hiruk-pikuk dunia maya, orang yang waras terlihat hilang kewarasannya, manakala orang yang selalu dianggap tidak waras sebenarnya lebih jernih pemikirannya.

Dan kejernihan fikiran itu, diwakili oleh Gora (dan juga watak bapa, Pak Didit yang menghidap gangguan bipolar). Ironinya, Gora dan Pak Didit lebih tahu bagaimana untuk bertindak secara wajar dan lebih menyelesaikan.

Budi Pekerti
Omara Estghlal sebagai Gora (FOTO: Tribunnews)

Banyak lagi sebenarnya yang mahu saya bicarakan tentang Budi Pekerti. Belum lagi kita bicarakan tentang aspek semiotik filem ini, seperti permainan warnanya. 

Jika diperhatikan, penggunaan warna biru dan kuning sangat dominan dalam filem ini seperti pada baju watak, mask dan sebagainya. Daripada beberapa video ulasan yang saya tonton di YouTube, ada yang berpendapat penggunaan kedua-dua warna ini ialah homaj kepada buku mata pelajaran Pendidikan Moral Pancasila yang lama, yang diajarkan di Indonesia sejak sekian lama.

Banyak lagi sisi semiotika yang mahu dibahas seperti babak penutup ketika mereka sekeluarga berhenti di lampu isyarat dan dalam kehujanan, Tita membeli bakso dan menyuapkan kepada ahli keluarganya. Namun saya rasakan ruangan yang terhad ini untuk dibicarakan semuanya.

Saya tidak teragak-agak untuk mengatakan Budi Pekerti antara filem terbaik Indonesia 2023 yang saya tonton (meskipun saya tonton pada awal 2024) dan mengharapkan lebih banyak buah tangan baharu daripada Wregas Bhanuteja pada masa akan datang.

(p/s: Saya juga mahu tonton Penyalin Cahaya!)


Ditonton di One Cinemas Spectrum Ampang, bersama Wafa Awla.

Comment (1)

  1. Rain Town (2024): Taiping dalam Renyai dan Damai

    February 15, 2024 at 12:34 pm

    […] BACA: Budi Pekerti (2023): Kejujuran yang Terhukum […]

Leave Your Comments