TAHUN kedua puluh tujuh, ialah tahun penyembuhan. Tahun hujan membersihkan segala sakit, tahun mentari mengeringkan segala luka menjadi keruping. Tahun monsun yang melebat, hujungnya menghadirkan indah bianglala.
Datanglah apa sahaja, di hujung senja, balam langit akan membariskan senyum jingga, matahari akan menyapa saya ‘lihatlah, segala yang payah yang kaulepaskan di sepanjang perjalanan telah pun jauh di belakang tertinggalkan’.
Terima kasih Tuhan yang meminjamkan kudrat dan hela nafas yang masih berhujung pada setiap lafaz. Saya akhirnya menyedari, kesepian dan kelelahan hidup tidak sedikit pun membunuh jasad saya.
Saya kini fasih mencintai diri dan saban hari, saya tidak lupa memeluk jasad sendiri. Semuanya atas ingatan yang Tuhan hadirkan dalam bentuknya yang tidak pernah saya fikirkan, sejak dua tahun kebelakangan.
Buat keluarga, teman-teman dan kenalan, terima kasih kerana ada pada setiap iklim dan cuaca— dalam hujan, dalam terik kemarau mahupun musim kering yang meluruhkan daun perasaan yang selalu melebat.
Kalian akhirnya rupa-rupanya menghadirkan pelangi selama ini, tanpa pernah saya sedari. Dan untuk itu, tidak pernah henti saya syukuri dan berterima kasih. Terima kasih semua.
Saya juga ingin berterima kasih kepada sahabat-sahabat yang meraikan semalam. Terima kasih Fit, Dewih, Fara, Dewih, Haliza, Amir dan Adam. Dan semua yang meraikan saya kemudian-kemudiannya.
Sambutan yang dimaknai dengan ingatan dan kenangan. Tuhan sahaja yang dapat membalas jasa baik kalian.
Terima kasih kerana wujud dan terima kasih sentiasa bersama sejak hari pertama!