MASA depan umpama terowong kelam yang bercahaya di hujungnya, sama ada cahaya itu daripada matahari yang menerangi atau marak api yang membakar diri, itu sesuatu yang kekal misteri sehingga kita tiba di penghujungnya nanti.
Setidak-tidaknya itulah yang dapat saya simpulkan ketika mengimbas kembali perjalanan dua puluh dua puluh.
2020 bukanlah tahun terbaik buat semua, itu pasti. Negara malah seluruh dunia dilumpuhkan wabah, banyak orang tekesan dan menerima dampak dari pelbagai sisi- kehidupan saya secara peribadi tidak terkecuali.
Namun dari sorot pandang lain, tahun ini tidaklah begitu celaka. Barangkali kerana memulakannya tanpa ada apa-apa (terutama hal-hal yang materi), saya merasakan banyak rezeki dipermudahkan buat diri.
Saya mendapat kerja baharu, berpindah ke rumah baharu dan menyambung pengajian ke peringkat yang lebih tinggi. Saya memulakan tahun ini dengan satu nawaitu; saya ingin menjadi lebih waras dan membina diri.
Tanpa saya sedari, Tuhan begitu baik, Dia berikan saya sesuatu yang lebih bererti. Teman-teman yang baik, keluarga yang memahami dan Dia menjentik kesedaran dalam nurani bahawa saya harus mengutama diri sendiri, kerana kalau bukan diri saya yang menjaga dan menyayangi diri, siapa lagi?
Tahun ini juga menyaksikan beberapa orang dalam hidup saya memilih untuk pergi. Tetapi oleh kerana saya sudah fasih dalam cinta-kendiri, saya pujuk diri bahawa “tidak mengapa. Hidup kita tidak ditentukan oleh siapa yang ada di samping kita sepanjang masa”.
Beberapa jam menjelang kalendar baru, saya perlahan-lahan menyedari, sinar di hujung terowong bukanlah api yang memakan diri, tetapi warna syurga yang Tuhan hantarkan melalui cahaya daripada teman-teman dan keluarga yang sentiasa ada di sisi, sejak hari pertama.
Untuk itu saya berterima kasih untuk semua, sesiapa sahaja, kerana menjadi teman yang mengiringi sepanjang perjalanan dua puluh dua puluh ini.
Semoga tahun hadapan, terowong yang bakal kita lalui menjanjikan cahaya yang sama, meskipun permulaannya masih samar dan kekal menjadi bayang misteri yang menuju entah ke mana.
Ayuh, jadi berani, pimpin tangan saya dan kita jalan bersama-sama.
Selamat tiba, dua puluh dua puluh satu! ✨ ✨ ✨